Friday 5 August 2011

Minangkabau Nogori Sombilan


Penduduk Asal
Negeri Sembilan pada asalnya didiami oleh orang-orang asli daripada suku kaum Sakai, Semang dan Jakun. Mereka hidup berpindah randah, memburu, mengutip hasil hutan dan ada yang mula bertani.
Penghijrahan Orang Minangkabau

Pada permulaan abad ke-14 Masehi orang-orang Sumatera dari Tanah Minangkabau mulai tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka dan sampai ke Rembau. Orang Minangkabau ini lebih bertamadun daripada Orang Asli ini dan berjaya memujuk hati orang Asli. Dengan itu berlakulah nikah kahwin antara orang-orang Minangkabau ini dengan penduduk asli dan daripada keturunan mereka dinamakan suku Biduanda. Suku Biduanda ini adalah pewaris asal Negeri Sembilan dan apabila hendak memilih pemimpin maka hanya mereka dari suku Biduanda inilah yang akan dipilih. Orang-orang Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau. Pada peringkat awal kebanyakan yang tiba adalah dari Tanah Datar dan Payakumbuh.

Dari suku Biduanda inilah asalnya pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil Penghulu dan kemudiannya Undang. Sebelum wujudnya Yang DiPertuan Besar, Negeri Sembilan adalah di bawah naungan Kesultanan Johor. Kesultanan Johor yang memberi gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Asal Nama Negeri Sembilan
Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Johor, Naning yang kini menjadi sebahagian daripada Melaka, Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu yang kini adalah sebahagaian daripada Negeri Sembilan, Hulu Pahang dan Jelai yang kini menjadi sebahagian daripada Pahang, dan Kelang yang kini menjadi sebahagian daripada Selangor. Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding dahulu Negeri Sembilan yang asal.

Yamtuan
Ketibaan Raja Melewar dari Pagar Ruyung, Minangkabau pada 1773, memulakan institusi beraja di Negeri Sembilan. Uniknya ialah raja di Negeri Sembilan adalah yang dijemput oleh pembesar-pembesar negeri (Penghulu) dari Pagar Ruyung dan dirajakan di Negeri Sembilan. Sebab itulah raja tidak digelar Sultan tetapi memakai gelaran Yang DiPertuan atau Yamtuan. Sedangkan semua negeri di Malaysia dan Brunei menggunakan istilah Sultan atau raja.

Adat Perpatih
Asal penubuhan Negeri Sembilan adalah oleh Dato' Pepatih Nan Sebatang. Beliau juga merupakan pengasas bagi adat pepatih yang sangat dikenali umum. Seperti yang di ketahui umum, adat pepatih lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Pada dasarnya, adat ini adalah adat yang terbaik di Negeri Melayu kerana ia sangat mencakupi segala aspek. Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan. Berbeza dari kesultanan Melayu yang lain, harta dan darah keturunan di warisi oleh kaum lelaki. Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami. Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita dan di bahagi mengikut hukum Islam. Hasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual malah di dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Negeri Melayu lain berpegang pada Adat Temenggong. Tetapi Datuk Perpatih dan Datuk Temenggong adalah dua bersaudara di Sumatera dan terus berkembang di Malaysia. Kesultanan Melaka pada kurun ke-15 menjadikan Adat Temenggong menjadi dominan di Alam Melayu. Raja Melaka memberi perlindungan kepada penghijrah dari Minangkabau untuk menetap di Naning.

Selepas Portugis menguasai Melaka, perlindungan itu dilanjutkan oleh Kesultanan Johor sebagai pewaris Kesultanan Melaka.

Kerajaan


Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Ketua Perlembagaan Negeri. Dibawah perlembagaan negeri, kuasa meluluskan undang-undang adalah Dewan Undangan Negeri. Ahli Dewan undangan Negeri adalah terdiri daripada calon-calon yang memenangi pilihanraya di kawasan Dewan Undangan masing-masing.

Parti politik yang memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri berhak untuk dicalonkan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Besar. Menteri Besar kemudiannya akan melantik ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atau EXCO. Exco ini adalah dari kalangan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri
Kebudayaan

Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan kesenian Melayunya seperti Randai dan Bongai.

Negeri Sembilan
Negeri Sembilan Darul Khusus adalah sebuah negeri yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadankan Selangor di utara, Pahang di timur, Johor di tenggara, Melaka di selatan, dan Selat Melaka di barat.

Masyarakat Negeri Sembilan merupakan perantau asal Minangkabau, Sumatera yang telah tiba sejak abad ke-14. Kedudukan Negeri Sembilan dalam persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) adalah seperti berikut: Keluasan: kelima terkecil di Malaysia (tangga ke-10), serta di Semenanjung (tangga ke-8). Penduduk: ketiga terkecil (tangga ke-12) di Malaysia, serta di Semenanjung (tangga ke-10). Kepadatan penduduk: ke-8 terbesar di Malaysia, serta di Semenanjung.

Ibu negerinya Seremban. Bandar Di-Raja ialah Seri Menanti di dalam daerah Kuala Pilah. Bandar-bandar lain yang utama ialah Port Dickson, Rembau, Tampin, Jelebu dan Jempol.
Geografi

Negeri Sembilan terletak di wilayah tengah Semenanjung Malaysia, yakni di sebelah selatan negeri Selangor. Negeri ini bersempadan dengan Pahang di sebelah timur dan Melaka serta Johor di sebelah selatan. Bandar Seremban, iaitu ibu negeri Negeri Sembilan, terletak cuma 60 km dari Kuala Lumpur dan kira-kira 40 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang baru di Sepang.

Negeri Sembilan, bersama-sama dengan tujuh daerahnya (Seremban, Port Dickson, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, dan Jempol) meliputi keluasan 6,645 km persegi atau 664,591 hektar. Kawasan ini terdiri daripada lembah-lembah dan dataran yang begitu indah mata memandang dalam dakapan alunan bukit-bukau dan pergunungan. Sambil Banjaran Titiwangsa semakin menirus menghala tanah rendah Johor, rupa bumi bergunung-ganang dan hutan belantara beransur berubah menjadi ladang-ladang getah dan kelapa sawit di sebelah barat.

Negeri Sembilan mempunyai jumlah penduduk seramai kira-kira 722,000 orang (bancian penduduk tahun 1991). Dari jumlah ini, 56% terdiri daripada orang Melayu, 29.7% kaum Cina, 16.4% India dan 1.4% lain-lain. Purata kepadatan penduduk ialah 109 orang setiap kilometer persegi.

Negeri Sembilan terdiri daripada 9 luak iaitu : Jelebu, Inas, Johol, Rembau, Sungai Ujong, Tampin, Jempol, Ulu Muar dan Gunung Pasir.

Selain Seremban, bandar-bandar utama yang lain di Negeri Sembilan ialah Seri Menanti, Gemas, Kuala Klawang, Lukut, Gemencheh dan Port Dickson.

No comments:

Post a Comment