Friday 18 November 2011

Remaja Perempuan Mudah Diperdaya Melalui Internet & Telefon Bimbit???

Satu tinjauan yang dijalankan telah mendapati, remaja perempuan mudah terpedaya dengan orang
yang tidak mereka kenali melalui telefon bimbit dan juga internet.

Tinjuan tersebut yang dijalankan oleh Women’s Centre for Change (WCC) mendapati, 80%

daripada 100 remaja perempuan berusia antara 15 hingga 17 tahun dengan mudah menerima
 panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang yang tidak mereka kenali menerusi
telefon bimbit sementara 54% lagi telah bersembang melalui internet dengan orang yang tidak mereka
kenali sebelum ini.

Pengarah WCC, Dr Prema Devaraj berkata dalam satu sidang akhbar pada Jumaat, tinjauan lapan

bulan itu juga mendapati, wanita muda juga kini dengan mudah terdedah kepada orang yang tidak
mereka kenali termasuklah mereka yang mempunyai niat jahat.

“Mereka ini tidak sedar akan bahaya yang mereka hadapi dengan berkongsi maklumat peribadi

dengan orang yang tidak mereka kenali. “Malah kebanyakkan mereka tidak faham akan bahaya
menjalinkan persahabatan dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini melalui cara bersembang dalam talian atau menerusi telefon," katanya.

Menurut Dr Prema, remaja perempuan dan wanita muda ini mungkin berpendapat adalah masih

selamat untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini menerusi
talian atau sms kerana tidak bertemu muka.

Bagaimanapun tegas Dr Prema, mereka yang berniat jahat akan dengan mudah memperdayakan

remaja dan wanita muda ini secara tidak sedar tanpa mangsa mereka merasa suspek apa-apa.

Ini mereka lakukan dengan memperolehi kepercayaan mangsa mereka terlebih dahulu sebelum mula bertindak ke atas mangsa.

"Kita dapati, sesetengah mangsa rogol telah melalui pengalaman seperti ini," katanya.

Mangsa kemudiannya dengan mudah diugut setelah foto mereka melakukan adegan-adegan yang

terlarang jatuh ke tangan penjenayah ini.

Dr Prema juga berkata, tinjauan mereka turut mendapati, satu pertiga daripada perempuan remaja

telah diminta mengirimkan bahan-bahan yang menghairahkan atau memiliki unsur seks oleh orang
yang tidak mereka kenali ini sama ada menerusi internet atau telefon bimbit.

Tinjauan itu yang dijalankan antara Januari hingga Ogos tahun ini di 10 buah sekolah di sini juga

mendapati 17.3% daripada remaja perempuan telah menjalin persahabatan dengan orang yang tidak
mereka kenali sebelum itu menerusi telefon bimbit.

Katanya lagi, 29.6% responden yang memiliki telefon bimbit telah terdedah kepada sms atau mms

berunsur ghairah atau seksual daripada orang yang tidak mereka kenali.

Pada masa yang sama katanya, 36% responden yang berinteraksi menerusi rangkaian sosial
seperti Facebook, Friendster dan MySpace, pula telah terdedah kepada pertanyaan berunsur seksual.

“Kita dapati 23% daripada responden telah berkongsi maklumat peribadi seperti nama sebenar, alamat

dan umur dengan orang yang tidak dikenali,” kata beliau.

Hasil daripada dapatan tinjauan ini kata Dr Prema, WCC berhasrat untuk melancarkan kempen

keselamatan siber demi untuk melindungi remaja perempuan daripada menjadi mangsa penyalahgunaan internet dan juga telefon bimbit.

“Adalah sama penting untuk ibu bapa mengetahui akan bahaya yang sedang menanti anak-anak

remaja mereka jika terdedah kepada penyalahgunaan siber ini.

“Oleh yang demikian WCC mengalu-alukan mana-mana syarikat korporat yang ingin terlibat dalam

program pertanggungjawaban sosial berganding bahu dengan kami dalam menjalankan kempen untuk melindungi remaja perempuan daripada ancaman ini," ujarnya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

Post a Comment