Friday 9 September 2011

IKHTIAR UNTUK MELANGSAIKAN BAKI HUTANG PTPTN...



Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wbt...

Saudara sekalian dah dapat bonus raya ? Bersyukurlah dengan rezeki kurniaanNya meskipun nilainya kecil. Jika tiada bonus langsung pun jangan mengeluh kerana semua adalah ketentuanNya, sebaliknya kita tetap perlu bersyukur kerana nikmat hidup, kesempurnaan jasad, kesempatan Ramadhan dan 1001 macam kurniaan ALLAH yang sangat besar selama ini kita nikmati bahkan lebih berharga jika nak dibandingkan dengan nilai bonus raya :)

Bagaimana dengan belanjawan raya kalian ? Adakah sama hebat seperti tahun-tahun sebelum ini ? Atau terdapat perubahan drastik dek kerana situasi ekonomi dunia semasa yang semakin tak menentu ? Maklum sajalah sejak 2 Ogos 2011 yang lalu ramai yang semakin celik terhadap nilai wang kertas yang semakin pantas susutnilainya. Maka semakin ramai jugalah yang mula percaya bahawa kejatuhan ekonomi sedunia pasti akan berlaku dalam masa yg terdekat.


Antara HARTA dan HUTANG yang mana perlu lebih diutamakan ?

Ramai yang mula membeli emas, perak, dinar & dirham untuk dijadikan simpanan sebagai pelindung kepada nilai kekayaan mereka yang selama ini hanya tercetak di kepingan-kepingan kertas mahu pun hanya tertera di skrin-skrin komputer dan mesin elektronik. Dalam pada kita sibuk berusaha menyelamatkan harta kekayaan dari susut dimakan inflasi, ramai juga yang masih terlepas pandang kepada satu lagi ancaman yang lebih besar dan lebih utama untuk diselesaikan iaitu ancaman hutang sama ada pinjaman bank, peribadi, kereta, pelajaran, rumah dan sebagainya.

Segala mak nenek hutang yang masih belum langsai adalah ancaman terbesar bagi umat manusia terutama umat Islam kerana ia bukan saja menentukan nasib kita di dunia apabila Israel merajai sistem ekonomi & kewangan dunia sikit masa lagi, tapi juga nasib kita di Akhirat kelak akibat saki baki hutang yang belum selesai apatah lagi jika ianya terkandung dosa besar riba. Na'uzubillah.. Maka, usaha kita untuk menyelamatkan diri dari bebanan hutang adalah lebih penting berbanding usaha menyelamatkan harta benda duniawi kerana hidup di dunia hanya sementara, di Akhirat jualah yang kekal abadi.


Apakah ikhtiar kita untuk melangsaikan hutang PTPTN secepat mungkin ?

Persoalannya, apakah ikhtiar kita untuk melangsaikan hutang yang masih berbaki sebelum sistem ekonomi & matawang kertas dunia tersungkur dan diambil alih oleh puak Zionis yang ternyata sedang merancang satu sistem penindasan dan perhambaan yang lebih dahsyat ?

Kami akan berkongsi ilham & gerak yang dikurniakan ALLAH sebagai salah satu jalan usaha membantu kita melangsaikan hutang PTPTN tanpa menggunakan satu sen pun duit gaji atau simpanan. Namun, kemungkinan besar cara penyelesaian yang akan kami kongsikan ini hanya sesuai dilakukan oleh golongan tertentu saja terutama yang berumur lewat 20-an dan ke atas dan mempunyai simpanan KWSP.

Apa kena mengena dengan golongan berumur lewat 20-an ke atas dan mempunyai simpanan KWSP ?

Kerana golongan ini biasanya telah bekerja sekurang-kurangnya selama 5 tahun dan jumlah simpanan yang terkumpul dalam akaun KWSP adalah mencukupi untuk melangsaikan saki baki hutang PTPTN tersebut. Ya, dalam erti kata lain kami bermaksud menggunakan wang simpanan dalam akaun KWSP untuk melangsaikan hutang PTPTN yang masih berbaki.

Contoh :

Katalah Amir (bukan nama sebenar) mempunyai saki baki hutang PTPTN sebanyak RM 20,000

Katakan juga Amir ada jumlah simpanan (akaun 1 + akaun 2) KWSP sebanyak RM30,000

Maka, ikhtiar yang boleh Amir lakukan untuk membereskan saki baki hutangnya adalah seperti berikut :

Amir perlu sediakan 2 pucuk surat kepada pihak PTPTN dan juga kepada pihak KWSP,
  • Surat kpd KWSP - nyatakan hasrat dan arahan utk menyerahkan wang simpanan KWSP kepada pihak PTPTN mengikut nilai baki hutang
  • Surat kpd PTPTN - nyatakan niat kita untuk berhenti membayar secara bulanan dan memaklumkan bahawa kita telah arahkan pihak KWSP menggunakan wang simpanan KWSP kita untuk melangsaikan hutang PTPTN
Tekankan juga niat kita melakukan semua ini adalah untuk melangsaikan hutang PTPTN secepat mungkin demi menyelamatkan diri dari bebanan hutang terutama menjelang zaman kejatuhan ekonomi & kewangan dunia yang sangat hampir berlaku.

UPDATE 26 Ramadhan 1432H, 12:23 AM
Cara-cara nak berurusan dgn pihak PTPTN dan KWSP untuk melangsaikan hutang PTPTN menggunakan duit simpanan KWSP.. [Hasil pengalaman sebenar yg dikongsi oleh Citra Zara Rania.. kredit kepada beliau]

1. Mula2 pegi PTPTN (damansara), isi borang untuk dapatkan surat penyata baki ptptn (jumlah baki yang dinyatakan sah untuk 3 bulan)... tunggu seminggu dua hingga PTPTN poskan surat penyata baki akhir yg perlu dibayar

2. Surat dari PTPTN itu kita bawa ke KWSP jalan raja laut, perlu isi borang, pilih option sama ada bayaran baki (jumlah dari Akaun 2) tu KWSP bayar kat kita atau KWSP bayar direct to PTPTN... cadangan saya pilih option KWSP bayar direct to PTPTN...

3. and tadaaaa... settle!! kalau baki dalam akaun 2 KWSP anda tak cukup untuk bayar semua jumlah PTPTN, tak apa... tunggu beberapa bulan lagi sampai akaun 2 penuh balik, then ulang langkah2 di atas...


Kenapa menggunakan wang simpanan KWSP ?

Secara ringkasnya, walau pun wang simpanan KWSP adalah hak milik kita selaku pencarum tetapi syarat-syarat pengeluarannya adalah sangat terhad & ketat. Semua rakyat Malaysia sedia maklum, wang simpanan KWSP adalah wang caruman bulanan terkumpul yang hanya boleh dikeluarkan apabila kita telah mencapai usia persaraan atau dikeluarkan untuk tujuan pembelian seperti rumah, komputer dan pembiayaan perubatan kesihatan.

Persoalannya, setelah sedar tentang hakikat situasi dan propaganda sistem ekonomi & matawang dunia yang semakin genting hari ini apakah agaknya yang akan terjadi kepada wang tabungan KWSP kita ? Selepas kejatuhan wang kertas dunia yang bakal berlaku sikit masa saja lagi, adakah kita mampu menuntut semua wang simpanan KWSP kita ?

Ada beberapa kemungkinan yang boleh dijangkakan setelah kiamat ekonomi US terjadi iaitu :
  • Kemungkinan berlaku kegagalan total terhadap sistem matawang dunia yang mengakibatkan nilai wang yg tersimpan di bank-bank, amanah saham termasuk di dalam KWSP menjadi tidak laku sama sekali
  • Kemungkinan nilai wang simpanan kita masih wujud tetapi telah dipaksa untuk diselaraskan ke dalam sistem kewangan elektronik/digital terbaru yang dikawal dan dikuasai oleh kuasa ekonomi dunia yang baru iaitu ISRAEL.
Sekiranya kemungkinan pertama di atas berlaku, maka hangus dan leburlah semua wang simpanan KWSP kita semua. Jika kemungkinan kedua di atas berlaku, kita juga bakal tersepit di bawah kekuasaan Israel Zionis. Adakah kita sanggup menggadai maruah Islam untuk tunduk dan akur kepada sistem perhambaan kewangan terbaru di bawah cengkaman penindasan Zionis ? Tepuk dada tanya iman :)

Kesimpulannya, kita harus menerima hakikat untuk tidak lagi berharap kepada wang KWSP sebagai simpanan atau pelaburan masa depan kerana nilainya boleh direntap bila-bila masa saja. Melihat kepada situasi akhir zaman hari ini, adakah kita masih menaruh harap untuk mengumpul harta dan kesenangan dunia ? Masihkah kita berharap untuk mengeluarkan wang KWSP untuk membeli rumah idaman sedangkan ia pasti melibatkan pinjaman riba dan menambah bebanan hutang jangka masa panjang ? Atau masih optimis untuk terus menunggu berpuluh dan berbelas tahun lagi sehingga kita mencapai umur persaraan ?

Apa yang masih kita mampu lakukan di saat-saat akhir sebelum kiamat ekonomi US terjadi adalah berusaha memanfaatkan wang simpanan KWSP yang telah lama terkumpul hasil titik peluh kita selama bertahun-tahun sebagai 'pelangsai hutang PTPTN' (melalui cara yg telah diterangkan tadi) seblum ianya hangus begitu saja atau jatuh ke tangan Yahudi Zionis.


Adakah ikhtiar ini realistik atau tak masuk akal ?

Masa semakin suntuk sedangkan jumlah hutang masih banyak memerlukan tempoh yang panjang untuk diselesaikan. Apa lagi yang termampu kita usahakan ? Apa yang kami kongsikan di sini adalah ilham yang kami perolehi setelah terlalu banyak memikirkan cara & ikhtiar untuk membayar semula hutang PTPTN.

Bila kita cuba melakukan sesuatu yang menongkah arus, pasti tidak akan dilayan malah akan ada saja halangan walaupun niat kita sangat baik. Adakah pihak KWSP akan membuat pertimbangan dan melayan permintaan sedemikian ? Apatah lagi ianya mungkin bertentangan dengan dengan segala macam syarat perjanjian,pekeliling dan sebagainya.

Apa yang pasti, setiap wang yang telah dicarum dalam akaun KWSP adalah hak milik kita. Pendapat kami, kita berhak menggunakannya untuk melangsaikan hutang PTPTN terutama di saat yang sangat penting hari ini. Jika pihak KWSP tidak membenarkan kita berbuat demikian, maka kita serahkanlah segalanya kepada ALLAH untuk menilai niat hati kita terhadap isu ini. Semoga ikhtiar yang diusahakan ini mampu melepaskan tanggungan kita terhadap beban hutang tersebut walaupun ianya tidak dilaksanakan oleh KWSP. Semoga ALLAH memandang niat hati kita walaupun hakikatnya pihak KWSP menghalangnya. Wallahua'lam..

Mungkin perlu diwujudkan satu kumpulan yang menggerakkan kesedaran dan sokongan terhadap ikhtiar sebegini. Perkara terpenting yang perlu diusahakan untuk menyemarakkan sokongan ramai pihak adalah melalui kesedaran orang ramai terhadap implikasi negatif yang bakal berlaku ke atas wang simpanan KWSP akibat kejatuhan sistem ekonomi & matawang dunia yang terancang. Tanpa kesedaran ini, mana mungkin orang ramai akan peka dan sensitif terhadap nasib wang simpanan KWSP masing-masing. Apatah lagi kesedaran untuk berusaha melangsaikan segala hutang piutang secepat mungkin sebelum zaman kejatuhan ekonomi US.

Kami sedar bahawa tidak ramai yang memahami dan mengambil peduli tentang hakikat situasi akhir zaman hari ini di mana umat manusia sedang berada dalam bahaya fitnah terbesar Dajjal Laknatullah. Maka idea dan usaha kami untuk melangsaikan hutang PTPTN melalui wang simpanan KWSP pasti akan dipandang serong, diperlekeh dan ditertawakan orang ramai sebagai satu idea yang gila, mengarut dan melucukan.

Walau apa pun pandangan pihak lain, kami masih rasakan usaha yang diilhamkan ini adalah salah satu ikhtiar yang boleh diusahakan di saat masa yang kian suntuk. Bagi kami dan mungkin sebilangan dari saudara sekalian yang sependapat dengan kami pasti menganggap ikhtiar ini adalah satu langkah besar yang sangat penting demi menyelamatkan diri kita dari bebanan hutang.

Jika kalian tak sependapat dengan kami, maka anggap saja artikel ini sebagai kisah penglipurlara angan-angan Mat Jenin :) Kami sentiasa menghormati pendapat semua pihak, kerana benar dan salah pada zaman ini sangat subjektif bergantung kepada bagaimana seseorang itu melihat, menilai dan memahami tentang hakikat dunia akhir zaman pada hari ini.


Sekian. Wassalam

No comments:

Post a Comment