Thursday, 25 August 2011

OOPART Mendahului Masa




OOPART adalah singkatan dari perkataan  ‘Out of Place Artifact’ yang bermaksud  artifak-artifak yang tidak sesuai dengan zamannya. Dalam erti kata lain, penemuan artifak-artifak ini telah mendahului zaman di mana perbandingan corak sosial dengan teknologi penghasilannya menyebabkan artifak itu dilihat datang daripada satu zaman yang tidak sepadan dengan waktu ia dijumpai.

Bagaimanapun, penemuan  artifak seumpama ini banyak sekali dijumpai dan masih belum dapat dijelaskan sehingga hari ini. Ramai pengkaji mengakui, fenomena OOPART merupakan kejadian yang tidak diketahui puncanya.  Ia juga merupakan istilah asing yang paling jarang digunakan dalam sesuatu penemuan.

OOPART adalah istilah yang diciptakan oleh seorang ahli Cryptozoologist Amerika Syarikat yang bernama Ivan T. Sanderson untuk merujuk kepada objek sejarah, arkeologi atau paleontologi yang ditemui tidak sesuai pada tempat dan zamannya. Jelas Sanderson, kewujudan artifak  seumpama ini dilihat bertentangan dengan sejarah, waktu, dan teori kewujudan.

Sebagai contoh, terdapat dua penemuan arkeologi yang terkenal dikategori sebagai OOPART. Pertama, penemuan Tengkorak Kristal atau ‘Crystal Skull’ yang merupakan barang tinggalan daripada bangsa Maya di daerah Yacatan, Mexico.

Seperti yang diketahui umum, bangsa Maya merupakan salah satu bangsa yang telah mengeluarkan satu ramalan mengenai kemusnahan bumi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Ramalan ini berlandaskan kepada kiraan kalendar matahari dalam tamadun ini. Namun selepas penemuan Tengkorak Kristal, banyak ahli arkeologi merasakan, terlalu banyak rahsia dalam tamadun Maya yang mereka tidak ketahui.

Jika dilihat daripada aspek ketelitian dan reka bentuk tengkorak ini, ramai pengkaji mengandaikan, adalah sesuatu yang mustahil bangsa ini mampu menghasilkan artifak yang begitu sempurna seperti ini? Lebih-lebih lagi ia dihasilkan daripada batu permata Amesthyst. Persoalannya, sejauh manakah bangsa Maya pada waktu itu mampu membentuk batu keras ini menjadi artifak yang sama seperti tengkorak manusia, sedangkan manusia di zaman teknologi pun susah untuk mengukir batu permata ini? 

Selain daripada artifak purba Maya, terdapat satu lagi penemuan yang dianggap OOPART. Penemuan yang dimaksudkan adalah tulisan Hiroglif yang menggambarkan peradaban kuno Mesir Sebelum Masihi (SM). Anehnya, di dalam tulisan ini terkandung pelbagai jenis kenderaan udara pada zaman kini seperti helikopter, kapal terbang dan lain-lain figura yang berkemungkinan wujud pada masa hadapan.

Namun, kemunculan tulisan ini menjadi tanda tanya kerana pesawat yang pertama kali dicipta di bumi adalah berlaku pada abad ke-16. Pesawat ini dicipta oleh dua orang adik beradik,  Orville dan Wilbur Wright.

Bagaimanapun, istilah OOPART yang dikemukakan oleh Sanderson disangkal oleh sesetengah ahli sejarah yang skeptikal. Mereka berpendapat teknologi untuk menghasilkan artifak itu telah pun wujud sezaman dengan perkembangan sesuatu tamadun. Jadi, dakwaan yang mengatakan teknologi pembuatan artifak yang mendahului zaman sebenarnya tidak wujud.

Golongan ini berpendapat adalah tipu helah semata-mata dan ia tidak ada kena mengena dengan teknologi yang mendahului zaman. Walaupun begitu, istilah ini dilihat berlaku masih diaplikasikan untuk mencari bukti dan teori terhadap teknologi mendahului zaman pada peradaban silam.

Sementara itu, dalam majalah INFINITI pada edisi ke ke-21 lalu, Infiniti telah menceritakan mengenai kewujudan plot-plot zaman yang diterima pakai masyarakat dunia sebagai zaman perkembangan sejarah manusia yang bermula dari zaman Paleolitik, Mesolitik, Neolitik dan Logam.

Bagaimanapun, di antara keempat-empat zaman tersebut wujud satu zaman yang  tidak ditonjolkan dan seolah-olah disorokkan dalam lipatan sejarah, iaitu zaman Megalitik atau zaman batu besar.

Pada zaman ini,  wujud teknologi  pembinaan yang cukup luar biasa. Sebagai contoh, Tembok Besar China yang masih kukuh hingga ke hari ini. Mengikut kajian arkeologi, ia dibina sekitar tahun 200 SM. Tembok raksasa ini merupakan monumen terpanjang di dunia. Ukurannya menjangkau 6,400 kilometer (KM) yang bermula dari Shanhaiguan hingga ke Teluk Bohai yang terletak berhampiran antara sempadan China dengan Manchuria.

Begitu juga dengan struktur piramid yang dibina oleh masyarakat Mesir yang masih tidak dapat ditandingi oleh kebanyakan negara moden hari ini. Monumen ini dianggap sebagai binaan batu yang paling besar di dunia. Mengikut kajian arkeologi, struktur binaan kuno ini
dibina oleh 240,000 orang hamba abdi.

Difahamkan,pada musim banjir, 4,000 blok dibawa menyeberangi Sungai Nil, diheret di atas tanjak ke dataran Giza dan diletakkan di bahagian teras. Batuan ini kemudian diletakkan dengan cermat di tempat sepatutnya sehingga ruang di antara batu terlalu kecil untuk memuatkan sebarang objek, walaupun sehelai kertas.

Selain kecanggihan teknologi pembinaan kuno yang melangkaui zaman, masyarakat purba juga maju dalam ilmu sains. Masyarakat Mesir misalnya telah melakukan pembedahan otak sekitar tahun 3,000 SM. Ia dilakukan dengan menggunakan teknik-teknik yang sangat profesional seperti pemotongan kulit dan tengkorak yang begitu kemas sehingga pesakit mampu hidup lama selepas pembedahan.

Begitu juga dengan ilmu sains masyarakat Sumeria. Mengikut kajian arkeologi, masyarakat ini sudah memiliki sistem angka sendiri dan mencipta matematik berdasarkan nombor 60 sejak tahun 5,000 SM. Menariknya, sistem itu masih memainkan peranan penting sehingga ke hari ini. Antaranya, 60 minit dalam sejam, seminit ada 60 saat dan 360 darjah dalam satu bulatan penuh. 

No comments:

Post a Comment