Thursday, 4 August 2011

Bersetubuh atau jimak pada malam jumaat ? (EDISI MALAM JUMAAT)

Adakah terdapat dalil dari Al-Quran atau pun Hadis Rasulullah SAW berkenaan mengauli isteri pada malam Jumaat?

م
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih di atas soalan saudara tersebut . Sepanjang pengetahuan kami – yang sedikit ini dan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala – tidak ada sebarang keterangan yang kuat lagi sahih ( daripada Al-Quran Al-Karim , mahupun As-Sunnah ) yang menetapkan tatacara menggauli isteri di hari-hari tertentu seperti malam Jumaat itu . Ini disebabkan setiap masa dan ketika boleh dilakukan padanya majlis perkahwinan , dan begitulah juga dengan menggauli isteri ( berjimak dengannya ) , kecualilah pada masa-masa yang telah maklum akan larangannya seperti di dalam keadaan berihram , di dalam keadaan haidh ( wanita tidak suci ) dan sebagainya .

Kalaulah disebabkan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri mengahwini / “ menggauli “ seseorang isterinya daripada isteri-isterinya pada hari-hari tertentu menunjukkan sunat hukumnya , maka sudah tentu semua waktu dan ketika yang pernah Baginda Rasulullah s.a.w berkahwin / berjimak dihukum sunat juga , kerana Baginda Rasulullah s.a.w mempunyai isteri yang ramai . Sudah tentulah hukum dan kiasan seperti ini tidak dapat diterima .

Oleh itu kenapa pula timbul kepercayaan sesetengah umat Islam bahawa sunat dilakukan perkahwinan @ “ pergaulan suami-isteri “ di malam Jumaat ? .

SEBAB-SEBABNYA :
1 – Disebabkan malam tersebut merupakan malam bagi hari Jumaat . Dan ia pula dianggap sebagai penghulu segala hari ( sebagai mana di dalam hadis-hadis sahih ) . Selain itu , Hari Jumaat juga sebagai mana di dalam hadis-hadis sahih adalah salah-satu daripada hari-hari kebesaran dan perayaan umat Islam .

2 – Disebabkan sunat melakukan Mandi Hari Jumaat . Oleh itu , sebahagian ulama’ kita telah menyatakan bahawa jika kita “ tidur @ mencampuri @ berjimak “ dengan isteri kita pada malam tersebut lalu kita tidur , maka pada paginya – sebelum solat Subuh – kita pun bangun untuk menunaikan mandi junub @ janabah @ wajib . Dalam masa yang sama , kita pun berniat untuk mandi sunat hari Jumaat . Daripada sinilah sebahagian ulama’ mengatakan sunat berjimak dengan isteri di malam Jumaat .

3 – Biasanya kitab-kitab klasik yang menerangkan kelebihan berjimak dengan isteri di Malam Jumaat ditulis di masa sesebuah negara umat Islam itu mendaulatkan hukum-hukum Islam sebagai Perundangan Negara . Oleh itu sudah pasti juga mereka menjadikan Hari Jumaat itu sebagai HARI CUTI MINGGUAN ( sebagai mana yang masih berlaku di beberapa negara / I seperti Arab Saudi , Mesir , Kelantan dan Terengganu).

Oleh kerana pada Hari Jumaat mereka bercuti dan berehat , maka sudah tentulah sangat-sangat sesuai dilakukan upacara akad-nikah @ berjimak dengan isteri pada malam sebelumnya ( Malam Jumaat ) . Sayangnya kelebihan bercuti pada Hari Jumaat ini telah dilenyapkan sendiri oleh mereka yang “ bermati-matian “ mewar-warkan bahawa merekalah pemimpin parti Islam ketiga terbesar di dunia . Dan yang sayang seribu kali sayang pula , adanya golongan ulama’ upahan yang bermati-matian menentang Hari Jumaat dijadikan “ Hari Cuti Mingguan “ dengan mengatakan bahawa perkara itu tiada dalilnya daripada sumber-sumber perundangan Islam . Tapi yang amat malangnya pula , golongan ini tidak pula mahu menunjukkan dalil-dalil yang sahih lagi kuat untuk mereka menjadikan Hari Ahad sebagai “ Hari Cuti Umum @ Mingguan “ !!! .

Namun bagi kebanyakan kita yang tidak tinggal di Kelantan ataupun di Terengganu dan tidak pula bercuti pada Hari Jumaat , maka tidaklah menjadi halangan untuk melakukan sesebuah majlis pernikahan ( dan begitulah juga untuk “ bergaul beberapa pusingan “ dengan isteri ) pada Malam Ahad , memandangkan keesokan harinya kita mempunyai masa rehat yang lebih ( cuti ) berbanding dengan hari-hari selainnya .

KESIMPULANNYA :
Tiada hari khusus dan cara yang khusus untuk kita melakukan jimak ataupun majlis perkahwinan melainkan apa yang telah dimaklumi daripada sumber-sumber perundangan Islam yang sahih . Adapun kalam-kalam yang mengatakan “ sunat dilakukan pada Malam Jumaat “ hanyalah berdasarkan keluasan masa rehat dan kelebihan yang ada pada hari keesokannya ( Jumaat ) .

Percubaan Mencuri Jasad Rasulullah

Di masa peperangan antara orang Islam dengan orang-orang kafir Kristian yang dikenali dengan perang Salib dan telah berlangsung sekian lama. Kemenangan dan kekalahan silih berganti pada kedua belah pihak. Umat Islam berjuang dengan habis-habisan menentang musuhnya. Segala kekuatan dikerahkannya. Kerana pada waktu itulah kesempatan yang paling baik untuk memperolehi syahid di medan perang sebagaimana yang diperolehi para sahabat Rasulullah dalam perjuangan menentang orang kafir yang cuba melenyapkan Islam.

Raja-raja dari semua kerajaan Islam memberikan sokongan padu kepada setiap panglima perang yang tampil memimpin para pahlawan Islam menentang kaum kafir Kristian yang datang dari Eropah. Salah seorang raja yang banyak jasanya dalam perang Salib ini adalah Sultan Nuruddin Zangki (Zenggi), keturunan bangsa Kurdi dan berkedudukan di Mosul. Baginda yang diputerakan tahun 1118 Masihi dan wafat 1174 Masihi, adalah seorang raja yang terkenal taqwa, wara’ dan adil. Kerana keadilannya pula hingga digelari Malikul Adil (Raja yang adil). Pada waktu malam baginda bangun untuk solat tahajjud dan berdoa agar rakyatnya hidup bahagia dalam keredhaan Allah dan terselamat di akhirat nanti. Pada sebelah siang beliau banyak berpuasa dan selepas solat, wiridnya sentiasa panjang.

Seluruh kekuatan yang dimilikinya adalah untuk menentang serangan tentera Salib agar tidak dapat menjajah negara Islam. Beliaulah yang membentangkan jalan kepada Shalahuddin Al-Ayyubi, panglima perang Salib di pihak Islam yang telah berjaya membebaskan bumi Palestin dari cengkaman kaum Salib. Baginda sentiasa tenang dan gembira melayan semua rakyat dan menteri-menterinya, sekalipun negara dalam keadaan darurat perang, kerana beliau sudah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW pada suatu malam. Dalam mimpi itu Sultan Nuruddin melihat Rasulullah dalam keadaan gembira, menandakan perjuangan kaum Muslimin yang dipimpinnya dalam berjihad akan berhasil.

Selanjutnya, suatu hari Malikul Adil kelihatan tidak seperti biasanya, kali ini baginda nampak sangat risau, seolah-olah ada yang tidak kena pada dirinya. Menteri-menterinya menyedari hal ini, namun mereka tidak berani bertanya. Kerisauan dan kegelisahan tersebut berpunca daripada mimpinya beberapa malam yang lalu. Mimpi itu sangat mengerikan dan sukar ditafsirkan. Dalam mimpi itu, baginda memakai baju yang cantik gemerlapan dan berada di hadapan Rasulullah. Rasulullah memegang tangan Nuruddin dan menunjuk kepada dua orang lelaki yang berada di hadapannya dan bersabda: “Kenalilah aku. Bebaskan aku dari dua orang itu!” Nuruddin terbangun, namun wajah Rasulullah dan dua orang lelaki itu kelihatan jelas di hadapannya seperti bukan mimpi. Wajah kedua lelaki itu kelihatan kemerah-merahan.

Tidak seorang pun yang diberitahu tentang mimpi itu, dan beliau yakin bahawa yang datang itu benar-benar Rasulullah SAW. Kerana beliau sendiri telah bersabda: “Siapa yang melihat aku dalam mimpi, samalah ertinya dengan melihat aku di waktu bangun, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai aku.” Keyakinan Raja Nuruddin akan kesahihan mimpinya itu dikuatkan lagi oleh mimpinya yang dahulu sehubungan dengan peperangan. “Ketika itu Rasulullah kelihatan sangat gembira sekali. Tapi mengapa kali ini baginda kelihatan amat sedih? Dan siapakah gerangan dua lelaki yang ditunjuk oleh Rasulullah itu?” Nuruddin tidak habis-habis merenung dan berfikir: “Ah, ini tentu ada yang tidak mengena pada keperibadian Baginda yang mulia atau akan ada sesuatu yang mengancam maruah umat Islam,” kata Nuruddin dalam hatinya.

Dekat seminggu lamanya Raja adil itu memikirkan dengan risau. Tiba-tiba mimpi itu berulang lagi, peristiwa seperti mimpi yang pertama dan Rasulullah memanggil-manggil Nuruddin lagi: “Kenalilah aku dan bebaskan aku dari dua orang itu!” Baginda terkejut dan bangun kemudian langsung berwudhu’, terus bersolat tahajjud dan berzikir sebanyak-banyaknya di malam sunyi itu. Kerana terlalu lama berzikir, baginda tertidur dalam duduk dan wajah Rasulullah menjelma lagi. Dalam masa yang tidak seberapa lama, sudah tiga kali beliau berjumpa Rasulullah dalam keadaan muram. “Perkara ini benar-benar serius agaknya dan tidak boleh ku simpan seorang sahaja,” kata Nuruddin pada dirinya sendiri. Apabila baginda tergerak hatinya untuk memanggil orang kepercayaannya, baginda teringat akan sabda Rasulullah: “Bahawa apabila seseorang bermimpi buruk, hendaklah jangan diceritakan kepada sesiapa pun. Insya Allah tidak akan terjadi apa-apa.” Nuruddin berfikir sekejap. Sanggupkah dia menyimpan mimpi itu seorang diri? Tidak, mimpi itu sudah tiga kali datang, dan yang datang adalah manusia termulia.

Selepas solat Subuh di pagi hari Raja Nuruddin memanggil seorang menteri kepercayaannya, Jamaluddin Al-Mushly. Lelaki itu sangat wara’, taqwa dan amanah seperti Rajanya juga. Oleh kerana itu, dialah satu-satunya orang yang dipanggil oleh Nuruddin sehubungan dengan mimpinya. Kerana Nuruddin yakin, bahawa walau bagaimanapun Jamaluddin tidak akan membocorkan rahsia negara dan raja. Hari masih terlalu pagi, suasana masih gelap, di sana sini kedengaran kokok ayam silih berganti dan waktu kerja pun masih lama lagi akan bermula. Namun menteri Jamaluddin Al-Mushly sudah berangkat ke istana negara kerana menjunjung titah baginda.

“Engkau adalah orang yang paling ku percaya untuk menyimpan rahsia negara selama ini. Oleh kerana itu aku tidak merasa ragu lagi menceritakan mimpiku padamu,” kata Raja kepada Jamaluddin dan menceritakan mimpi yang dialaminya. Jamaluddin mendengarkan dengan serius. Ia sendiri turut merasa gerun mendengarkan cerita Rajanya. Kemudian Jamaluddin berkata: “Ini memang betul-betul mimpi yang benar wahai tuanku, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai Rasulullah.” “Betul itu. Aku pun ingat demikian,” kata Nuruddin menyokong pendapat Jamaluddin. Nuruddin bertanya: “Jadi, agak-agak apakah pendapatmu tentang mimpiku itu.” Jamaluddin menjawab: “Menurut pendapat hamba, ada rancangan jahat dari orang tertentu yang ditujukan kepada Rasulullah, dan Rasulullah tidak menyenanginya. Tuanku diberi tugas untuk menggagalkan rancangan jahat tersebut.”

Nuruddin seolah-olah dikeluarkan dari kebuntuannya setelah mendengar tafsiran daripada Jamaluddin. Baginda percaya bahawa pendapat menterinya itu benar belaka. Berkata Nuruddin: “Pendapatmu betul, sekarang ke mana dan bagaimana kita mesti mencari dua lelaki yang ditunjuk oleh Rasulullah itu?” Jamaluddin mengajukan usul: “Bagaimana kalau sekiranya baginda raja yang pergi ke Madinah Al-Munawwarah terlebih dahulu. Di sanalah tuanku dapat berdoa di makam Rasulullah yang mulia, memohon petunjuk kepada Allah di sisi kubur kekasihNya. Mudah-mudahan, di sana tersingkap rahsia mimpi paduka itu.”

Semua persediaan dan perbekalan segera dipersiapkan. Maka pada hari yang telah ditetapkan, beribu-ribu rakyat ibu kota berpusu-pusu di hadapan istana negara untuk mengucapkan selamat jalan kepada Raja yang mereka hormati. Berangkatlah Raja yang adil bersama beberapa pegawai tinggi negara menuju Madinah.

Di setiap kampung yang dilaluinya, baginda disambut mesra oleh rakyatnya. Baginda merasa puas dapat berjumpa dengan berbagai rakyatnya. Rakyat pun berasa gembira melihat Raja yang berjiwa rakyat dan tidak putus-putusnya tersenyum kepada semua rakyat. Namun, di sebalik senyuman raja yang dilepaskan kepada rakyatnya, ada perasaan risau dan ngeri yang menghantui baginda secara berterusan. Yakni wajah kedua lelaki yang dilihat dalam mimpinya selalu membayangi kemana sahaja baginda pergi. Tidak sesaat pun wajah itu hilang dari pandangan baginda. Baginda juga dapat menggambarkan dengan jelas tentang perwatakan kedua lelaki itu baik dari bentuk wajahnya, matanya, susunan giginya, mulutnya, janggutnya bahkan kesemua seluruh tubuh kedua mereka itu. Kalau, kedua lelaki itu melintas di hadapan baginda maka sudah pasti, baginda akan menangkapnya. Disebabkan baginda sentiasa asyik memikirkan tentang kedua lelaki itu, kadang-kadang baginda terpisah dari rombongannya. Baginda tidak putus asa untuk mencari kedua lelaki itu, baginda pergi secara persendirian mengembara antara bukit-bukit.

Para pengawal tidak berani menegur apa-apa sebaliknya mereka hanya memerhatikan Raja mereka dari jauh. Hanya menteri Jamaluddin sahaja yang sesekali mengingatkannya apabila beliau terpisah jauh dari rombongan. Setelah beberapa hari perjalanan, rombongan baginda sampai di sempadan Madinah. Jamaluddin memberitahu baginda: “Tuanku, sekejap lagi kita akan memasuki ke kota Rasulullah SAW, oleh itu bersiap sedialah tuanku.” Berkata Raja: “Apakah cara yang harus aku lakukan untuk memasuki kota yang mulia itu?” Berkata Jamaluddin: “Pertama hendaklah tuanku mandi dan bersuci, kemudian masuklah ke masjid Quba’ dan bersolat tahiyyatul masjid, ini adalah untuk menghormati masjid yang dibina dengan tangan Rasulullah SAW sendiri.” Kemudian Raja dan rombongannya mengikut arahan Jamaluddin, setelah selesai mengerjakan solat di masjid Quba’, rombongan diraja menuju ke taman Raudhah. Di taman yang mulia inilah jenazah yang teramat mulia Rasulullah SAW bersemadi.

Perasaan mereka yang berada di hadapan tempat jenazah baginda Rasulullah SAW disemadikan adalah amat berlainan sekali, mereka berasa seolah-olah berada di satu alam yang lain. Lalu Raja mengangkat tangannya tinggi-tinggi dan memohon kepada Allah SWT supaya rahsia di sebalik mimpinya itu di perlihatkan kepadanya sebelum kedua manusia jahat melaksanakan niat jahat mereka. Degupan hati Raja yang begitu khusyuk dalam doanya menyebabkan air mata mengalir tanpa disedarinya. Memang di sinilah salah satu tempat diperkenankan doa. Wajah Rasulullah SAW semakin jelas di mata Raja seolah-olah Rasulullah SAW menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Raja. Baginda terdengar suara dekat telinganya yang berbunyi: “Kenalilah aku, dan bebaskanlah aku dari kedua lelaki ini.”

Setelah baginda raja berdoa dengan penuh khusyuk di taman Raudhah, kemudian datang petunjuk dari Allah seolah-olah beliau dapat menyingkap tafsir mimpinya itu di kota mulia tempat bersemayamnya Rasulullah SAW. Oleh kerana Raja Nuruddin ingin segera mengetahui makna mimpinya yang menakutkan itu, lalu beliau memanggil gabenor Madinah dengan berkata: “Saya mahu kamu kumpulkan kesemua penduduk Madinah tanpa ada sesiapa pun yang dikecualikan, saya ingin bersalaman dengan mereka.” Berkata gabenor Madinah: “Baik tuanku, segala titah raja akan dijalankan.” Gabenor Madinah pun segera menyampaikan pesanan raja kepada penduduk Madinah dan penduduk yang berhampiran dengan kota Madinah.

Berkata gabenor Madinah kepada penduduk kota Madinah dan sekitarnya: “Atas perintah Raja Nuruddin, semua rakyat Madinah dan kawasan yang berhampiran denganya, sama ada lelaki atau wanita, tua atau muda dari berbagai jenis agama dikehendaki hadir di dewan orang ramai, kerana baginda Raja Nuruddin hendak bertemu dengan semua penduduk di sini.” Setelah berita disebarkan maka orang ramai bersama seisi keluarga segera pergi ke dewan orang ramai dengan perasaan gembira, tidak seorang pun yang tertinggal. Mereka yang tua dan uzur diusung sehingga banyak sekali usungan yang kelihatan dalam perjalanan menuju ke dewan orang ramai. Apabila seluruh penduduk kota Madinah telah berkumpul, gabenor Madinah pun melapurkan kepada Raja: “Tuanku, semua rakyat telah berkumpul dan mereka sedang menunggu kehadiran tuanku.” Berkata Raja Nuruddin: “Apakah kamu yakin bahawa semua rakyat telah datang untuk bersalaman dengan saya?” Berkata gabenor Madinah. “Insya Allah.” Setelah Raja mendengar penjelasan dari gabenor, Madinah, maka Raja pun segera pergi ke tempat orang ramai yang sedang menunggunya. Wajah kedua lelaki yang datang dalam mimpinya semakin mencabar di hadapannya.

Setelah baginda Raja sampai di tempat dewan orang ramai, maka baginda pun memandang kepada rakyat sebagai penghormatan. Mata Raja Nuruddin sentiasa mencari-cari wajah yang menjadi buruannya, tetapi tidak juga kelihatan. Raja Nuruddin semakin risau, beliau duduk sekejap dan berbincang dengan pegawai-pegawai dari Madinah. Berkata Raja, Nuruddin: “Apakah masih ada rakyat yang melepaskan peluang untuk bertemu dengan saya? Cuba siasat sekali lagi.” Kemudian para pegawai dari kota Madinah berbincang sesama mereka, mereka cuba mengingati wajah-wajah yang tidak hadir. Tiba-tiba seorang pegawai berkata dengan serius dan bersemangat: “Betul tuanku, hamba ingat masih ada dua orang kenamaan di Madinah yang tidak hadir di sini, mungkin kedua mereka tidak mendengar berita tentang ketibaan baginda tuanku ke sini.”

Raja Nuruddin berkata: “Di mana mereka berada, dan siapakah mereka itu?” Denyutan jantung Raja Nuruddin semakin cepat, tetapi beliau menahan perasaannya. Orang yang mengenali kedua lelaki itu berkata: “Mereka berdua adalah ahli tasawwuf dan ahli hikmah, sangat wara’ dan sangat banyak ibadahnya, sesiapa sahaja yang pergi kepada mereka akan menerima fatwa-fatwa yang menyejukkan dan menerima sedekah. Dan kedua mereka juga adalah dermawan dan telah banyak sekali membantu fakir miskin.” Raja Nuruddin sangat tertarik dengan huraian pegawainya dan beliau berkata: “Saya ingin sangat untuk bertemu dengan kedua mereka, jemputlah mereka sekarang juga.”

Tidak berapa lama kemudian kedua mereka itu pun datang ke dewan orang ramai setelah diundang. Kedua mereka berjalan dengan tunduk dan tawadhu’, sementara mulut mereka tidak berhenti-henti berzikir kepada Allah SWT. Apabila kedua mereka berdiri di hadapan Raja Nuruddin, Raja Nuruddin terperanjat kerana kedua mereka itulah yang muncul dalam mimpinya. Dalam hati Raja Nuruddin berkata: “Demi Allah orang inilah yang datang dalam mimpiku.” Walaupun kedua mereka itu berada di hadapan beliau, beliau belum pasti sama ada beliau bermimpi atau tidak, lalu beliau menggosok kedua biji mata beliau dan dibukanya mata beliau terang-terang. Ternyata kali ini beliau tidak mimpi, beliau kini berada betul-betul di hadapan orang yang menjadi buruan beliau. Raja Nuruddin memandang mereka dari semua segi, dari segi bentuk muka mereka, susunan gigi, mata dan lain-lain. Akhirnya beliau meyakini dengan seratus peratus bahawa memang sah kedua lelaki itulah yang muncul dalam mimpinya. Kalau ikutkan hati Raja Nuruddin hendak ditanya sahaja: “Siapakah kamu berdua ini.” Raja Nuruddin bertambah hairan melihat kedua mereka, ini adalah kerana kedua mereka itu begitu khusyuk dan tawadhu’, gerak-geri mereka tidak sedikit pun mencurigakan.

Segi rambut pula ikut sunnah, serban pula ikut cara Rasulullah. Sewaktu bersalaman menunjukkan adab seorang alim dan ahli tasawwuf, tutur katanya pula penuh hikmah dan selalu berasaskan Al-Quran dan Al-Hadith. “Tetapi mengapa Rasulullah minta dibebaskan dari dua orang itu? Apakah dosa yang telah diperbuat oeh keduanya? Begitulah pertanyaan yang keluar dari hati Raja Nuruddin. Beliau hairan dan tidak tahu apa yang hendak dibuat, namun demikian tidak seorang pun yang dapat membaca perasaan Raja Nuruddin. Raja Nuruddin serba salah kerana orang ramai mengenali kedua mereka sebagai orang yang alim dan menunjukkan sikap yang penuh tasawwuf, baginda Raja juga menghormati kealiman dan ketasawwufan mereka. Oleh kerana Raja Nuruddin tidak dapat membuat apa-apa keputusan maka majlis pada hari itu bersurai setelah baginda Raja bersalam dengan semua rakyatnya seperti yang dijanjikan. Setelah majlis perhimpunan yang pertama selesai, orang ramai pun bersurai dan mereka merasa puas hati kerana dapat bersalam dengan Raja mereka. Gebenor Madinah merasa sangat gembira kerana majlis itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan. Satu-satunya orang yang tidak puas hati ialah Raja Nuruddin, kerana teka-teki yang menghantuinya belum terjawab.

Selepas menunaikan solat Raja Nuruddin beristighfar dan berzikir banyak-banyak, kemudian beliau berdoa dengan doa yang amat panjang, dalam doa tersebut beliau meminta petunjuk yang lebih jelas dari Allah SWT. Ketika Raja Nuruddin duduk bersendirian, lalu datang menterinya Jamaluddin dengan berkata: “Wahai tuanku, sudahkah tuanku jumpa dengan dua lelaki yang tuanku cari itu?” Berkata raja Nuruddin: “Ya, sudah.” Jamaluddin bertanya: “Yang mana satu tuanku?” Berkata Raja Nuruddin: “Jemputan yang terakhir sekali, saya pasti itulah orang yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW dalam mimpiku.” Jamaluddin diam sambil mengangguk-anggukkan kepalanya, pertanda dia sedang memikirkan sesuatu. Berkata Raja Nuruddin: “Tapi yang peliknya saya tidak dapat sesuatu yang mencurigakan pada diri mereka itu, keadaan keduanya memang seperti yang diceritakan oleh orang. Akhlaknya, gerak-gerinya dan tutur katanya semuanya menggambarkan keperibadian Rasulullah SAW. Inilah yang membuat saya rasa pelik sangat, entah dosa apa yang telah mereka lakukan?”

Setelah Jamaluddin mendengar kata-kata Rajanya maka dia pun berkata: “Tuanku, ketahuilah bahawa seseorang yang pada zahirnya menunjukkan baik, segalanya mengikut cara Rasulullah SAW belum tentu hatinya baik. Boleh jadi ia hanya berpura-pura supaya orang ramai tidak mencurigainya, padahal dia adalah musuh yang jahat.”

Berkata Raja Nuruddin: “Betul katamu itu, kerana memang ramai orang-orang kafir berpura-pura Islam, sedangkan tujuannya untuk menghancurkan Islam dari dalam. Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang ucapannya tentang kehidupan dunia, sangat menarik perhatianmu, dan di persaksikannya Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia sebenarnya adalah musuh yang jahat.”

Raja Nuruddin memang tahu tentang tipu helah orang-orang kafir yang sentiasa hendak merosakkan Islam dengan berbagai cara. Berkata Raja Nuruddin lagi: “Apakah yang harus kita lakukan?” Berkata Jamaluddin: “Tuanku mestilah mengadakan perisikan ke rumah orang itu secara sulit.” Raja Nuruddin dan menterinya Jamaluddin mengadakan perbincangan secara rahsia tentang cara yang terbaik untuk mendapatkan maklumat tentang pergerakan kedua lelaki yang disyaki. Setelah sekian lama mereka berbincang akhirnya mereka mendapat satu cadangan yang baik, yakni orang ramai dijemput untuk menghadiri rumah terbuka atas arahan Raja Nuruddin.

Kedua orang yang disyaki juga diundang sebagai tetamu kehormat. Rahsia ini tetap menjadi rahsia antara Raja dengan menterinya. Gabenor Madinah diberikan tugas untuk menjayakan majlis tersebut. Setelah saat yang dinantikan telah tiba, maka ramailah orang yang datang menghadiri majlis tersebut. Kedua lelaki yang disyaki juga awal-awal lagi telah berangkat menuju ke majlis diraja. Apabila Raja Nuruddin dan Jamaluddin melihat kedua lelaki alim itu telah keluar dari rumah mereka, kemudian Raja Nuruddin, Jamaluddin dan beberapa pengawal pergi ke rumah orang alim itu. Kesemua bahagian dalam rumah itu di periksa oleh Raja Nuruddin, malangnya tidak satu pun benda yang mencurigakan. Sebaliknya dalam rumah tersebut terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang digantung dan juga hadith nabi. Dalam almari orang alim itu dipenuhi dengan kitab-kitab agama feqah dan juga tasawwuf, keadaan rumah itu menggambarkan seolah-olah pewaris Nabi SAW. Hati kecil Raja Nuruddin masih bertanya: “Apalagi yang harus aku syaki? Kenapa Baginda Rasulullah SAW minta pertolongan dariku supaya dibebaskan dari kedua lelaki ini?”

Setelah merasa puas dengan selidikan di rumah tersebut Raja Nuruddin mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tersebut, tetapi apabila baginda Raja hendak melangkah keluar dari rumah tersebut, datang ilham yang membuat beliau teringin benar untuk melihat sebuah permaidani yang sangat indah terbentang di sudut rumah. Raja Nuruddin merasa sangat kagum dengan keindahan dan kehalusan permaidani yang di anggap cukup mahal itu.

Raja Nuruddin tidak puas dengan melihat sahaja kecantikan permaidani tersebut, tetapi beliau membelek-belek permaidani tersebut. Sewaktu membelek permaidani itu Raja Nuruddin terlihat di bawah permaidani itu terdapat papan dan beliau berkata: “Eh, ada papan.” Raja Nuruddin mulai curiga tentang papan itu, lalu baginda mengangkat papan itu perlahan-lahan, ternyata di bawah papan itu mempunyai sebuah terowong yang mempunyai tangga. Raja Nuruddin meneliti arah perginya terowong tersebut, akhinya beliau terkejut dan berkata: “Maasya Allah, terowong ini menuju ke arah kubur Rasulullah SAW.” Kemudian Raja Nuruddin mengeluarkan arahan: “Tangkap kedua orang itu.” Dengan terbongkarnya rahsia itu maka yakinlah Raja Nuruddin akan makna mimpinya itu, kedua lelaki yang menyamar sebagai alim itu adalah musuh yang hendak mencuri jasad Rasulullah SAW. Dengan terbongkarnya rahsia kedua orang itu, maka orang ramai pun datang untuk menyaksikan peristiwa di rumah orang alim itu.

Beberapa orang telah turun ke dalam terowong yang sangat jauh itu dan akhirnya mereka mendapati bahawa terowong yang digali oleh kedua orang itu sudah hampir benar dekat pada jasad Rasulullah SAW. Setelah mendapat kepastian dari orang yang masuk ke dalam terowong itu, orang ramai tidak tahan sabar lagi. Lalu kedua-dua mereka dipukul dengan teruk sekali, kemudian kedua mereka dibawa ke pengadilan. Dalam mahkamah keduanya berterus terang dengan berkata bahawa kedua-dua mereka telah tinggal di Madinah lebih dari setahun sebagai agen Yahudi. Orang-orang Yahudi memberi perbelanjaan yang cukup banyak pada keduanya untuk tujuan mencuri jasad Rasulullah dari kuburnya, tujuannya ialah apabila jasad Rasulullah berada di tangan Yahudi mereka dengan mudah dapat merendahkan martabat Kekasih Allah dan seterusnya menghina umat Islam. Umat Islam di Madinah rasa tertipu oleh kedua orang Yahudi itu, akhirnya kedua orang Yahudi itu dijatuhi hukuman mati.

Raja Nuruddin sujud syukur kepada Allah SWT kerana tugas yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya telah berjaya diselesaikan dengan berkat hidayah dan pertolongan-Nya. Untuk mengelakkan supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi, Raja Nuruddin memerintahkan supaya ke empat penjuru sekeliling kubur Rasulullah dipagar dengan kongkrit sampai ke bawah tanah. Sebelum Raja Nuruddin berlepas dari Madinah sekali lagi beliau bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW, kali ini Rasulullah merangkul dan memeluk leher beliau. Apabila telah tiba masanya Raja Nuruddin hendak meninggalkan kota Madinah, beliau memberi taklimat terakhir kepada penduduk Madinah akan kejahatan dan dendam orang Yahudi terhadap Islam, dendam orang Yahudi terhadap Islam akan berterusan. Raja Nuruddin pun kembali ke Mosul dengan diiringi doa dan air mata oleh sekalian rakyat yang mencintainya.

Allahu a’lam..

Dr laman: Darul Nu’man

Sumber: http://sirah.blogsome.com/2006/01/07/percubaan-mencuri-jasad-rasulullah

Jenis-jenis tidur yang melemahkan akal


Anda suka tidur?Boleh tidur,tapi elakkan tidur seperti kat bawah ni;

1) Tidur selepas Subuh iaitu pada awal-awal pagi.
2) Tidur selepas Asar.
3) Tidur di bawah cahaya matahari walaupun hanya sebahagian daripada badan terkena cahaya matahari.
4) Tidur yang terlalu banyak.

Pakar Perubatan Islam tidak menyukai tidur terutamanya selepas Subuh dan Asar kerana dipercayai boleh melemahkan akal dan pengamalnya akan mengalami kegoncangan dan gangguan saraf. Anda mungkin pernah mengalami, selepas terbangun dari tidur pada waktu senja, otak anda menjadi bingung seketika dan tidak dapat membezakan adakah waktu tersebut adalah pagi atau senja.

Siri 1 : KRONOLOGI SIRAH RASULULLAH SAW

KRONOLOGI SIRAH RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM

Disediakan oleh:
Mohd Rawizal b. Mohd Nawi Fakulti Syariah Wal-Qanun (Syariah Islamiah)
Ahmad Muhaimin b. Mustapha Kuliah Perubatan Universiti Kaherah
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه


1.0 BIOGRAFI
Nama :
Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam bin 'Abdullah bin 'Abdul Mutalib bin Hasyim bin 'Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'ad bin 'Adnan.

Bapa :
Abdullah bin Abdul Mutalib

Ibu :
Aminah binti Wahab bin 'Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab

Tarikh lahir :
Isnin, 12 Rabi'ul Awal Tahun Gajah (pendapat masyhur). Pendapat yangrajih pada 9 Rabi'ul Awal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi.

Status :
Anak yatim, kematian bapa semasa 2 bulan dalam kandungan. Ibunya wafat semasa berumur 6 tahun. 

Isteri-isteri :
  1. Khadijah binti Khuwailid Radhiallahu 'Anha
  2. Saudah binti Zam'ah Radhiallahu 'Anha
  3. 'Aisyah binti Abu Bakar Radhiallahu 'Anhuma
  4. Hafsah binti Umar Radhiallahu 'Anhuma
  5. Zainab binti Khuzaimah Radhiallahu 'Anha
  6. Ummu Salamah, Hindun binti Abu Umayyah Radhiallahu 'Anha
  7. Zainab binti Jahsy Radhiallahu 'Anha
  8. Juwairiyah binti Harith Radhiallahu 'Anha
  9. Ummu Habibah, Ramlah binti Abu Sufyan Radhiallahu 'Anhuma
  10. Shafiyyah binti Huyai bin Akhtab Radhiallahu 'Anha (Banu Nadir keturunan Nabi Harun)
  11. Maimunah binti Harith Radhiallahu 'Anha
  • Semua isteri Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam janda semasa dikahwini kecuali Aisyah Radhiallahu 'Anha.
  • Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam meninggalkan 9 orang isteri setelah kewafatannya.
Surriyyah [1] : (Hamba yang disediakan tempat kediaman untuknya. Mukhtar Al-Sihah.) 
  1. Mariah binti Syam'uun Radhiallahu 'Anha (Hadiah raja Mesir, Muqauqis)
  2. Raihanah binti Zaid Radhiallahu 'Anha (Tawanan perang yang masuk Islam, dibebaskan dan berkahwin dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, dari Banu Nadhir)
Zuriat :
  1. Qasim Radhiallahu 'Anhu (menyebabkan baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam digelar Abul Qasim)
  2. Zainab Radhiallahu 'Anha
  3. Ruqayyah Radhiallahu 'Anha
  4. Ummu Kalthum Radhiallahu 'Anha
  5. Fatimah Radhiallahu 'Anha
  6. Abdullah Radhiallahu 'Anhu (digelar sebagai at-Taiyib dan at-Tahir)
  7. Ibrahim Radhiallahu 'Anhu.
  • Semuanya daripada Khadijah Radhiallahu 'Anha kecuali IbrahimRadhiallahu 'Anhu daripada Mariah Al-Qibtiyyah Radhiallahu 'Anha.
  • Semua anak-anak Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam wafat sewaktu hayat baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam kecuali Fatimah Radhiallahu 'Anhu.
  • Semua anak lelaki wafat sewaktu kecil lagi.
Sumber: http://ulamaummah.blogspot.com

Penghakiman paling aneh di dunia!

Selepas Samarkand jatuh ke tangan tentera Islam, padri besar negeri itu mengutus surat kepada khalifah Islam, Amirul-Mu’minin Umar bin Abdul Aziz. Di dalam surat tersebut dia mendakwa panglima tentera Islam, Qutaibah serta angkatan tenteranya telah memasuki Samarkand tanpa amaran dan tanpa seruan dakwah kepada Islam.


Umar mengarahkan hakim yang dilantik untuk bertugas di Samarkand bernama Jumay’ supaya membicarakan kes yang didakwa oleh padri besar tersebut.

Hakim memanggil kedua-dua pihak, pendakwa (padri besar Samarkand) dan yang didakwa (Qutaibah, panglima angkatan tentera Islam). Qutaibah dipanggil oleh petugas mahkamah atas nama peribadinya, tanpa dikaitkan dengan sebarang gelaran.

Datanglah Qutaibah ke mahkamah. Dia duduk bersebelahan padri besar Samarkand di hadapan hakim Samarkand yang muslim.

Hakim memulakan perbicaraannya dengan mengajukan soalan kepada padri besar Samarkand:- Apakah dakwaan kamu wahai orang Samarkand?- Qutaibah dan tenteranya telah memasuki dan menakluki negeri kami tanpa menyeru kami kepada Islam terlebih dahulu dan memberi tempoh kepada kami untuk kami membuat keputusan mengenai pendirian kami!

Hakim berpaling kepada Qutaibah seraya bertanya:- Apa jawapan kamu terhadap dakwaan ini wahai Qutaibah?- Peperangan adalah tipu muslihat. Samarkand merupakan negeri yang besar. Semua negeri-negeri di sekitarnya melawan kami. Mereka tidak menerima Islam dan tidak mahu membayar jizyah.- Wahai Qutaibah! Adakah kamu telah menyeru mereka (penduduk Samarkand) kepada Islam atau membayar jizyah atau perang?- Tidak! Sebaliknya kami terus serang mereka secara mengejut dengan alasan yang telah saya sebutkan tadi.- Aku mendapati kamu telah mengaku. Dan apabila pihak yang didakwa mengaku, selesailah perbicaraan. Wahai Qutaibah! Allah tidak menulung umat ini melainkan dengan (berpegang kepada) agama, menjauhi tipu daya dan menegakkan keadilan.

Kemudian hakim mengisytiharkan keputusan penghakimannya:- Kami memutuskan supaya semua orang Islam dikeluarkan dari bumi Samarkand, merangkumi pemerintah, tentera, orang-orang lelaki, kanak-kanak dan wanita. Mereka hendaklah mengosongkan kedai-kedai dan rumah-rumah mereka. Jangan ada seorangpun orang Islam yang tinggal di Samarkand!

Padri besar terpinga-pinga,tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengarnya. Tanpa bukti, tanpa saksi, perbicaraan selesai dalam masa beberapa minit sahaja. Padri besar dan orang-orang Samarkand yang turut hadir dalam mahkamah ketika itu, tidak menyedari bahawa perbicaraan telahpun selesai kecuali setelah melihat hakim, Qutaibah dan para petugas bangun dan beredar.

Hanya beberapa saat saja selepas itu, penduduk Samarkand mendengar deringan suara loceng memenuhi angkasan, debu-debu berterbangan memenuhi setiap ruang dan bendera-bendera kelihatan berkibaran di sebalik debu-debu yang bertiupan. Mereka tertanya-tanya kehairanan, apa yang telah terjadi? Lalu diberitahu kepada mereka bahawa pemerintahan Islam telah ditamatkan dan angkatan tenteranya telah ditarik keluar. Satu pemandangan yang sungguh menakjubkan dan menggemparkan.

Dan terbenam sahaja matahari pada hari itu, anjing-anjing berkeliaran di jalan-jalan yang sunyi, suara-suara tangisan bersahutan dari setiap rumah menangisi pemergian satu umat yang adil lagi penyayang dari negeri mereka. Lantas padri besar dan seluruh penduduk Samarkand tidak dapat menahan diri lebih lama lagi. Mereka keluar berarak beramai-ramai dikepalai padri besar menuju ke arah angkatan tentera Islam sambil melaungkan syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah.

Ya Allah! Betapa hebatnya kisah ini. Betapa gemilangnya lembaran sejarah Islam yang agung.

Pernahkah anda dengar satu angkatan tentera menakluk sebuah kota, kemudian penduduk kota itu membuat dakwaan ke atas tentera yang menakluk, dan akhirnya tentera yang menakluk itu kalah dalam perbicaraan dan diperintahkan keluar dari kota yang telah ditakluknya?Demi Allah! Kita tidak akan temui kisah serupa ini dalam sejarah mana-mana umat di dunia ini selain dari umat Islam!



sumber :
Dipetik dari buku ‘Qasas min at-Tarikh’ oleh Syaikh Ali at-Tantawi