Saturday, 16 July 2011

Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar.

Pihak Pencegahan tidak boleh menggalakkan suasana suka mengadu keaiban sesama muslim –secara langsung atau tidak- tanpa kesedaran sendiri melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar.
Nabi s.a.w tidak suka kes-kes diangkat kepada baginda. Sikap suka mengangkat kes-kes maksiat peribadi kepada penguasa adalah menyanggahi ruh Islam yang menyuruh ditutup keaiban saudara muslim. Sebaliknya, masyarakat hendaklah digalakkan dan diberi kesedaran melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar kerana itu adalah tanggungjawab semua pihak. Maka pemberian saguhati kepada pemberi maklumat dalam maksiat peribadi ini hendaklah dihentikan. Daripada Abi Barzah al-Aslami, katanya: Bersabda RasululLah s.a.w:
“Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun dirumahnya. (Hadith sahih. Riwayat Abu Daud dan Ahmad).
Tidak boleh didedahkan maksiat ini kepada umum melainkan untuk tujuan penghakiman.
Maka tindakan membawa media untuk membuat liputan semasa penangkapan adalah menyanggahi prinsip-prinsip menutup aib dalam Islam. Bahkan perbuatan menyiarkannya kepada awam seperti di internet dan media massa adalah haram kerana mendedahkan keaiban orang lain. Ini tidak boleh disamakan dengan hukuman zina di khalayak ramai yang pasti dengan saksi yang yakin. Sebab, Nabi s.a.w berusaha menolak kes-kes zina, dihukum setelah pasti tanpa didedahkan aktiviti seks secara terperinci melainkan proses penghakiman.

No comments:

Post a Comment